Tuesday, March 18, 2008

‘Saya sokong Md. Isa’ -- Kepentingan negeri, parti melebihi emosi – Shahidan

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim akan menyokong kepimpinan baru dan sedia bekerjasama bagi membangunkan negeri ini.

Katanya, beliau akan mengetepikan soal perasaan dan memberi sokongan sepenuhnya kepada Menteri Besar baru, Datuk Md. Isa Sabu dan berusaha untuk memberi kebaikan kepada masyarakat.

“Tidak ada persoalan mengenai perkara ini (kerjasama dengan Menteri Besar baru) dan saya akan bekerja bersamanya bagi memastikan penduduk Perlis dan negeri semakin maju.

“Kepentingan negeri, parti Barisan Nasional (BN) adalah melebihi emosi kami dan selepas pergolakan yang berlaku di negeri kecil ini kami perlu bekerja sebagai satu pasukan sekarang,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Negeri, Pengkalan Asam, di sini hari ini.

Semalam, Md. Isa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-6 dalam satu istiadat di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Istana Arau.

Pelantikan Md. Isa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong dibuat setelah mendapat perkenan Raja Perlis.

Istiadat tersebut sekali gus menamatkan kemelut perebutan jawatan itu antara Shahidan yang menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Md. Isa yang menjadi calon yang diterima oleh Raja Perlis.

Bagaimanapun, timbul pertanyaan apabila pada majlis angkat sumpah itu semua 14 ADUN hadir kecuali Shahidan yang memenangi DUN Tambun Tulang.

Menjawab persoalan itu, Shahidan memberitahu, beliau tidak dimaklumkan mengenai majlis tersebut.

“Kemungkinan saya dijemput tetapi tiada sesiapa yang memaklumkan kepada saya mengenai pelantikan majlis itu dan pada waktu itu saya sangat sibuk mengemas barangan peribadi di bekas kediaman rasmi.

“Jika saya diberitahu atau dijemput tiada sebab saya tidak menghadiri majlis yang bermakna tersebut,” jelasnya.

Ditanya mengenai kain rentang yang dinaikkan di bulatan berdekatan Hotel Putra Palace bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinannya selepas dua jam majlis angkat sumpah Menteri Besar berlangsung, Shahidan berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Katanya, sekiranya betul kain rentang yang sebegitu ada dinaikkan, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) perlu menurunkan semua kain rentang atau poster yang tidak dibenarkan itu kerana ia boleh menimbulkan situasi yang tidak diingini.

“Saya kesal kerana sesetengah perkara negatif kadang-kadang membabitkan diri saya. Adalah tidak patut bagi menyakitkan perasaan seseorang, menuduh saya atau menyebar fitnah.

“Apa pun itu tidak mengapa, saya akan letakkan kain rentang yang mendapat kelulusan MPK yang menyatakan `Raja dan Rakyat Berpisah Tiada,” ujarnya.

Tambahnya, beliau akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Perlis dan semua wang yang diterima daripada elaun, wang pencen dan ganjaran sebagai bekas Menteri Besar akan diserahkan kepada kerajaan bagi membina masjid di negeri itu.

“Berkaitan haiwan peliharaan yang ada di kediaman rasmi, burung unta akan saya serahkan kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMap) dan kambing diserahkan kepada seorang rakan buat sementara waktu.

“Buat masa ini saya tidak pasti ingin berpindah ke mana tetapi buat sementara saya akan tinggal dengan kakak saya,” jelasnya.

Sementara itu, beliau enggan mengulas lanjut mengenai dua bekas menteri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Seri Azmi Khalid yang dikaitkan dengan seteru politiknya apabila digugurkan daripada Kabinet baru selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, baru-baru ini.

No comments: