Tuesday, March 18, 2008

Md. Isa janji pentadbiran lebih telus

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong, Datuk Dr. Md. Isa Sabu yang mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau di sini petang ini berjanji akan melaksanakan pentadbiran yang lebih telus dan adil kepada semua rakyat negeri ini.

Katanya, beliau akan bergerak sebagai satu pasukan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain bagi membawa misi perubahan positif terhadap negeri Perlis.

“Kita akan menjalankan kepimpinan yang lebih adil daripada yang ada sekarang dengan mengamalkan pengurusan dan pentadbiran yang lebih baik. Kita juga berjanji akan menjadi lebih telus, ikhlas dan jujur tanpa mengira perbezaan politik.

“Sebagai contoh, kita akan lebih telus dalam pengagihan projekprojek kecil kepada mereka yang benar-benar layak.

“Pada masa yang sama, kita akan teruskan projek yang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada pemberita di Stadium Utama Kangar di sini hari ini.

Terdahulu, Md. Isa yang tiba kira-kira pukul 10.35 pagi di sini selepas bertolak dari ibu negara awal pagi tadi berucap di hadapan kira-kira 5,000 penyokongnya di pekarangan stadium itu.

Turut hadir, isterinya, Datin Asiah Asmuni; ADUN Santan, Sabry Ahmad; ADUN Beseri, Mat Rawi Kassim; ADUN Kuala Perlis, Mat Hassan; ADUN Kayang, Ahmad Bakri Ali; ADUN Indera Kayangan, Dr. Por Choo Chor; ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn dan ADUN Pauh, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail serta ADUN Simpang Empat daripada Pas, Rus'sele Eizan.

Md. Isa memberitahu, bagi tujuan pembangunan, rakyat Perlis termasuk golongan profesional dan korporat yang berada di luar negeri ini digalakkan memberi idea-idea baru dalam usaha menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu.

“Kita akan teruskan pendekatan yang dilaksanakan sebelum ini dengan beberapa penambahan di mana tumpuan akan diberikan kepada usaha pembangunan modal insan.

“Penumpuan juga tidak kepada bidang akademik semata-mata, tetapi mereka yang tidak cemerlang dalam bidang itu akan diberi pendedahan agar boleh maju dalam sektor lain yang diceburi,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Datuk Seri Shahidan Kassim yang mahu menjadi pembangkang dalam kerajaan baru negeri itu, Md. Isa bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Itu saya tidak boleh jawab. Jiwa kami adalah jiwa BN, saya bersama pasukan yang bercita-cita membawa perubahan positif kepada Perlis,” kata beliau.

No comments: